Bila mencuba sendiri bawa keluar buah dari dusun, tak gamak nak beli dengan harga lebih rendah!

Bila mencuba sendiri bawa keluar buah dari dusun, tak gamak nak beli dengan harga lebih rendah!






Baru-baru ini saya berkesempatan mencuba pengalaman sebagai pekebun durian yang mengeluarkan hasil dari atas bukit hingga kepada peraih. 

Kebun di kawasan bukit yang dimiliki penduduk kampung lazimnya tiada akses laluan kenderaan kecuali untuk motorsikal. Itu pun sekadar sampai di kaki bukit, selebihnya perlulah menapak naik ke atas. Boleh tahan juga penatnya, namun usia mereka ada yang telah menjangkau 73 Masih bertenaga sehingga ke puncak. Hebatnya pekebun durian otai!

Penat dan lelah menaiki bukit bagaikan hilang apabila nampak buah durian bergelimpangan di bawah pokok, tidak kurang juga yang jauh tersasar dari bawah kanopi pokok. 

Keseronokkan ini terhenti sekejap apabila buah sudah banyak dalam guni, untuk bawa turun ke bawah kita perlu kandar buah ini dengan sebatang kayu, boleh tahan rasa tulang bahu macam nak patah! maklumlah kerja sebelum ni tak pernah mengandar barang-barang berat.. tengok mereka selamba saja tanggung. Itu baru seguni, buah baru mula nak luruh belum lagi jujuh. Kalau kena 5-6 guni?? pecah peluh!...

Sambil turun bukit sangat berisiko tinggi, ada laluan berbatu yang ada air mengalir, cukup licin.. jika hilang fokus memang boleh tergolek ke bawah. Demi mengeluarkan hasil yang ada untuk dinikmati oleh peminat yang berada nun jauh di bawah bukit. Durian bukit memang sedap! isi melekit, lemak, liat dan tidak berair. Sesuai dengan susahnya nak bawa turun ke bawah. 

Bagi pemilik kebun yang ada modal sedikit, lazimnya generasi baharu mereka sudah mula membuat teres untuk memudahkan pergerakan mengeluarkan hasil. Bagi dusun durian yang jauh di atas bukit masih tetap menggunakan cara mengandar buah turun ke bawah. 

Semoga dengan pengalaman ini saya lebih menghargai jasa pekebun terdahulu di atas susahnya mereka mengeluarkan hasil untuk dinikmati oleh kita. Jadi tidak perlu kita merungut dengan harganya kerana mereka bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil pertanian. Ketika musim durian ini rutin mereka, selesai musim durian mereka kembali menoreh getah untuk kelangsungan hidup. Dengan memberikan sokongan ini dapatlah mereka merasa sedikit "BONUS" apabila setiap kali musim durian tiba. 

Fuh! penat! bukan senang nak jadi pekebun durian, tak cukup stamina boleh tumbang. 
Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Post a Comment

To Top