3.0 Fasa Pengasuhan

3.0 Fasa Pengasuhan

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera, 

Fasa pengasuhan bagi saya adalah fasa yang tidak kurang pentingnya boleh dikatakan Pra Penanaman di ladang. 

Berdasarkan pengalaman sendiri, perlu kita fahami bahawa anak pokok yang sihat dan berusia 12 bulan ke atas adalah anak pokok yang paling sesuai untuk dipindahkan ke ladang atas beberapa faktor. 


Faktornya adalah seperti berikut :

1. Anak pokok pada usia ini lazimnya sudah melepasi 4 kaki dan ke atas mempunyai helaian daun tua yang banyak dan bersedia untuk berada di lapangan. 
2. Daun tua yang banyak tidak lagi menarik minat serangga perosak seperti belalang untuk membuat serangan, namun kawalan berkala tetap perlu dilakukan. 
3. Di usia ini, anak pokok tidak lagi perlukan net hitam kerana keadaan fizikalnya yang sudah bersedia dan tahan lasak menerima cahaya matahari secara terus. 
4. Kekuatan akarnya adalah faktor penting kerana kekuatan akar yang telah diasuh selama 12 bulan membuatkan akar-akar ini tidak lagi mudah terkena kanser akar atau lain-lain penyakit akar selain faktor akar terendam atau kekurangan air semasa di lapangan. 
5. Kekuatan akar anak pokok ini juga mampu bertahan untuk melawan PH tanah di bawah 5.0 sehingga keadaan kembali stabil. 
6. Tempoh bertenang hanya diambil selama sebulan hingga dua bulan tanpa sebarang pertumbuhan sementara pokok menyesuaikan diri di lapangan. 



Gambar di atas ialah anak pokok +- 1 Kaki lebih yang saya asuh di tepi rumah sebelum masuk ke kebun.


Atas kekuatan ini, saya mencadangkan untuk rakan-rakan yang baru ingin membuka kebun durian supaya dapat melaksanakan fasa pengasuhan ini setahun sebelum memulaka kerja membuka kebun. Sekiranya ingin membuka kebun pada tahun 2021, awal tahun 2020 sudah membeli anak pokok 1-2 kaki dengan harga diantara RM18 hingga RM35 sepokok untuk diasuh terlebih dahulu. 




Gambar di atas menunjukkan anak pokok durian bersaiz APM yang dibekalkan oleh Famies Group Nursery, Kuala Kangsar. 


Untuk 100 pokok anda hanya perlukan modal antara RM1,800 sehingga RM3,500 sahaja. Sekiranya anda berkemampuan untuk membeli anak pokok APM (Advance Plant Material) bernilai RM200 sepokok, untuk 100 pokok modal anak pokok sahaja sudah mencecah RM20,000 dipersilakan. Tetapi harus diingat, bukan juga mudah untuk mendapatkan anak pokok bersaiz APM ketika ini kerana selepas posting saya berkaitan anak pokok APM di sebarkan saya dapati agak sukar untuk mencarinya kerana semua nursery kehabisan stok. Mungkin setahun dua nanti akan kembali banyak apabila banyak nursery membuat stok saiz APM.

Ikuti post seterusnya nanti 3.1 Buat sendiri benih APM dan  3.2 Persediaan anak pokok memasuki dusun berdasarkan pengalaman sendiri yang telah saya lalui. Berjumpa lagi, doakan kesihatan saya semoga saya dapat terus berkongsi apa yang telah saya lalui dalam membuka dusun durian ini. 

Semoga bermanfaat.

Mohon patuh arahan kawalan pergerakan cegah penularan #covid19

Sementara nyawa dikandung badan, jom sebarkan ilmu sebanyak yang mungkin, 
kerana ilmu bermanfaat yang disebarkan sebahagian daripada amalan yang tidak terputus  pahalanya walaupun kita telah meninggal dunia. 




Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Post a Comment

To Top